Demi buah
tiin dan zaitun. Dan Gunung Tursina”. (Surah at Tiin ayat 1 dan 2). Allah telah
menyebut di dalam Al Quran berkenaan dengan buah zaitun. Ini menunjukkan buah
zaitun juga memiliki banyak keistimewaan tersendiri yang jarang diketahui dan
diselidiki. Di dalam Al Quran, buah zaitun disebut sebanyak 7 kali di mana
sebanyak 2 kali, ia di sebut bersendirian dan 5 kali lagi ia digambarkan dalam
Al Quran bersama dengan buah- buahan lain seperti tamar, delima, anggur dan
buah tiin. Gambaran ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah zaitun
sepertimana buah- buahan lain yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan
manusia sejagat.
Buah zaitun
atau nama botaninya dikenali sebagai olea europea ditanam di kawasan
Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol, Turki,
Itali, Tunisia dan Morocco. Di dalam surah an Nur ayat 35 juga Allah menyebut
tentang buah zaitun yang mana ulama seperti Maulana Majid, Maulana Maudoodi,
Maulana Usmani, Maulana Haqqani dan Abdullah Yusuf Ali memberi pentafsiran dan
pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman buah zaitun.
Dunia moden
pada hari ini, melalui kajian- kajian sains semasa mengiktiraf khasiat buah
zaitun. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan.
Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai
penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar
racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan
fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia
bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan
psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tarmizi dan Ibn Majah,
Nabi Muhamad SAW bersabda, ” Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu
dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati”.
Dari sudut
pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang
dikelaskan sebagai “monounansaturated” yang mampu merendahkan kolesterol
berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar- pakar
kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan
antara kanser dan pemakanan seseorang. Didapati bahawa negara yang mengamalkan
pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur- sayuran
mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak
zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam Annals of Oncology (10
Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati diet Meditranean yang kaya
dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser
payudara kerana kandungan ‘oleic acid’ yang terdapat didalamnya.
Menurut
Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok
yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun
yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun
yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak
ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses
menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan
lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan
kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat
melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai ‘laxative’ dan
menyingkirkan cacing di dalam badan.
Melihat
kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang, penyakit jantung
yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin meningkat. Namun begitu,
pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan
‘phenol’. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi di samping mampu
mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun
amat bermanfaat untuk mencegah seseorang daripada menghidapi penyakit jantung.
Di samping itu, mutakhir ini, manfaat minyak zaitun untuk kecantikan seringkali
dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat
kosmetik yang menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam
pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu, sememangnya kelebihan minyak zaitun
tidak dapat dinafikan lagi.
Kelebihan
minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita
di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan
bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah
sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia
ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang
berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah
kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan.
Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan
berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh
digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi
tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan
yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas
sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan
daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak
kandungan zat yang bermanfaat.
Oleh itu,
tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang daripadanya boleh
menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang ada pada masa kini
untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu Hurairah meriwayatkan
bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda ” Ambillah minyak zaitun dan sapulah
ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam
(kusta). Dengan ini, tidak hairanlah, ramai yang mengetahui akan kelebihan buah
zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak,
minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga dijadikan sebagai makanan
tambahan. Justeru, khasiat yang terdapat pada buah zaitun merupakan anugerah
Allah ke atas hamba- hambaNya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana
bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam Al Quran, malah pakar- pakar sains
dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.
Read more: http://manmala.blogspot.com/2011/11/buah-zaitun-khasiat-dan-keistimewaannya.html#ixzz21j6A8hhT


No comments:
Post a Comment